Pendatang baru Liga Perdana Inggeris (EPL), Hull City mencipta kejutan dengan menewaskan pasukan gergasi liga, Manchester United di Stadium MKM.
Kedua-dua pasukan mahu membuka kempen musim 2026/27 dengan kemenangan. Hal ini amat penting buat Hull lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Matheus Cunha mengetuai jentera serangan The Red Devils. Penyerang Scotland, Oli McBurnie menjadi sandaran gol pengurus Hull City, Sergej Jakirovic.
Separuh masa pertama menyaksikan The Tigers kerap mengancam benteng United diketuai Harry Maguire menerusi hantaran-hantaran terus. Kebanyakan hantaran dibuat bek kiri, Ryan Giles dengan McBurnie sebagai sasaran utama mereka.
Hantaran Giles nyaris menemui bekas penyerang Swansea City itu seawal minit kelapan. Noussair Mazraoui bertindak pantas menanduk bola sebelum sempat disambar McBurnie.
Enam minit selepas itu, giliran United mencemaskan penjaga gol Hull, Konstantinos Tzolakis menerusi percubaan Cunha. Walau bagaimanapun, percubaan penyerang Brazil itu mudah diselamatkan penjaga gol Greece itu.
Taktik hantaran terus yang digunakan Jakirovic membuahkan hasil pada minit ke-17. Meskipun Senne Lammens berjaya menafikan percubaan McBurnie, Semi Ajayi menyudahkan percubaan susulan untuk gol pertama Hull.
Tersentak, The Red Devils cuba bangkit. Malangnya, tuan rumah menggandakan kelebihan mereka menerusi Nobel Mendy pada minit ke-38.
Bekas bek tengah Rayo Vallecano itu menyudahkan hantaran Regan Slater yang menewaskan Lammens. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, pengurus United, Michael Carrick mengambil langkah memasukkan penyerang England, Marcus Rashford menggantikan Patrick Dorgu. Ini kali pertama Rashford beraksi buat United sejak Disember 2024.
Kesukaran United menembusi pertahanan tuan rumah mendorong Carrick memasukkan Kobbie Mainoo dan Benjamin Sesko.
Malangnya, Hull terus gigih mempertahankan kelebihan dua gol mereka. Malah, tuan rumah hampir menambah jaringan menerusi Cody Drameh pada minit ke-73 tetapi percubaan bekas pemain Leeds United itu tersasar.
United terus berusaha mencari gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Hull menewaskan United buat kali pertama sejak aksi separuh akhir kedua Carabao Cup musim 2016/17.
Sofascore memilih Tzolakis dan Mendy sebagai pemain terbaik Hull. Kedua-dua pemain mendapat markah 7.8, 0.4 mata di depan Ajayi dan Maguire.
Selepas ini, Hull akan menentang Stoke City untuk aksi Carabao Cup. United pula berharap dapat bangkit bila turun menentang satu lagi pendatang baharu liga, Ipswich City pada 30 Ogos.