Man United membuka tirai musim 2024/2025 dengan langkah kanan apabila berjaya membenam cabaran Fulham di Stadium Old Trafford.
Erik Ten Hag mempertaruhkan Bruno Fernandes, Marcus Rashford, Amad Diallo dan Mason Mount di bahagian serangan pasukan manakala Noussair Mazraoui melakukan debut pertama beliau.
Fulham pula memberikan kepercayaan kepada Rodrigo Muniz untuk menggalas tugas penyerang utama pasukan dibantu dua bekas pemain Arsenal, Alex Iwobi dan Emile Smith Rowe.
Mason Mount menerima kad kuning pertama musim ini seawal minit ke-18 permainan setelah melakukan kekasaran terhadap Emile Smith Rowe.
Beberapa percubaan serangan saling dilakukan oleh kedua-dua pasukan namun tiada jaringan yang dapat dijelmakan sehingga tamat aksi babak pertama.
Ten Hag melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua dengan memasukkan pemain seperti Joshua Zirkee, De Ligt, Alejandro Garnacho, McTominay dan Jonny Evans untuk memberikan kelainan di atas padang.
Penantian gol akhirnya ditamatkan oleh Joshua Zirkee pada minit ke-87 permainan setelah menyambut kemas bola hantaran Garnacho dalam kawasan kotak penalti.
Gol tunggal tersebut menyaksikan United menewaskan Fulham 1-0 untuk meraih tiga mata pertama liga bagi musim 2024/2025.
Manchester United seterusnya akan menentang Brighton pada 24 Ogos ini manakala Fulham pula akan melawan Leicester City.