Advertisements
EPL: Liverpool Belasah Chelsea Tanpa Belas
EPL
MakanBola
Liverpool

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool semakin menunjukkan taring mereka musim ini apabila berjaya menewaskan Chelsea di Anfield awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan turun ke padang dengan kesebelasan terbaik mereka kecuali Mohamed Salah yang masih belum cergas sepenuhnya dari kecederaan.

Liverpool memulakan perlawanan dengan sangat positif apabila Darwin Nunez mempunyai dua peluang keemasan pada 10 minit pertama permainan namun penjaga gol dan palang menjadi penghalang.

Hasil serangan bertali arus, Liverpool berjaya mendapatkan gol pendahuluan pada minit ke-23 hasil penyudah Diogo Jota.

Pemain muda Liverpool, Conor Bradley membalas kepercayaan Jurgen Klopp terhadap dirinya dengan menggandakan kedudukan pada minit ke-39 selepas larian kencangnya berjaya menewaskan beberapa pemain Chelsea sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Djordje Petrovic di gawang Chelsea.

Separuh masa pertama ditamatkan dengan Liverpool mendahului 2-0.

Bersambung babak kedua, Liverpool terus menggandakan asakan untuk memburu gol berikutnya manakala Chelsea dilihat bergelut untuk meneutralkan serangan dari Liverpool.

Conor Bradley sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Chelsea apabila pada minit ke-64, hantaran lintang darinya berjaya ditanduk kemas Dominik Szoboszlai untuk mengubah kedudukan menjadi 3-0.

Kedudukan itu hanya bertahan 6 minit selepas Christopher Nkunku merapatkan kedudukan melalui satu jaringan gol dari jarak dekat.

Luis Diaz menutup malam gemilang Liverpool di Anfield apabila berjaya meledak gol keempat buat Liverpool melalui penyudah mudah hasil hantaran dari Darwin Nunez.

Keputusan 4-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Liverpool semakin selesa di puncak carta EPL selepas mengumpul 51 mata setelah mengharungi 22 perlawanan. Chelsea terus kekal di tangga ke-10 liga dengan mengutip 31 mata selepas 22 perlawanan.