Hasrat Liverpool mencipta kemenangan dalam perlawanan pertama EPL musim ini tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan Chelsea di Stamford Bridge.
Perlawanan ini menjadi lebih panas susulan kedua-dua kelab berebut mendapatkan beberapa pemain sasaran yang sama sejak beberapa hari lepas.
Menurut wartawan sukan terkenal Fabrizio Romano, The Blues dan The Reds dilaporkan mengintai Moises Caicedo (Brighton) dan Romeo Lavia (Southampton).
Liverpool yang mahu bangkit daripada kempen hambar musim lepas membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi Luis Diaz.
Dan Chelsea yang terkial-kial mencari rentak menghela nafas lega apabila gol Mohamed Salah pada minit ke-31 dibatalkan VAR kerana berada pada kedudukan ofsaid.
The Blues yang dibimbing bekas pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino memperkemaskan rentak mereka. Dan mereka berhasil mendapat gol penyamaan menerusi Axel Disasi pada minit ke-37.
Beberapa minit selepas itu, Stamford Bridge kembali bersorak apabila Ben Chilwell menewaskan Alisson pada minit ke-40. Bagaimanapun, bek kiri Chelsea itu hampa apabila golnya dibatalkan oleh VAR kerana kesalahan ofsaid.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. The Blues cemas seketika apabila Nicolas Jackson didakwa menampan bola Diaz dengan tangan dalam kotak penalti pada minit ke-54.
Begitupun, nasib menyebelahi Chelsea apabila VAR mendapati tangan bekas penyerang Villareal itu berada pada kedudukan semulajadi semasa insiden itu berlaku.
The Reds yang terdesak memburu kemenangan memasukkan Darwin Nunez dan pemain sayap muda berusia 17 tahun, Ben Doak bagi menambah ketajaman serangan mereka.
Malangnya, pertahanan The Blues diketuai Thiago Silva terus menghampakan setiap percubaan pasukan pelawat. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini meletakkan kedua-dua pasukan masing-masing di tangga ke-10 dan ke-11 liga selepas satu perlawanan. Selepas ini, Liverpool berharap dapat mengulangi kemenangan besar 9-0 ke atas Bournemouth musim lepas di Anfield pada 19 Ogos.
Manakala Chelsea pula mahu memastikan era baru mereka di bawah Pochettino diraikan dengan kemenangan ke atas West Ham di Stadium London pada 20 Ogos.