EPL: Liverpool Kecewakan Crystal Palace Di Selhurst Park
Dunia
Liverpool FC/Getty Images
Advertisements

Harapan bekas kapten Arsenal, Patrick Vieira untuk mencipta kejutan ke atas Liverpool tidak kesampaian. Ini selepas pasukan bimbingannya, Crystal Palace tewas 3-1 di tangan Reds. Walaupun tewas, barisan muda Eagles menunjukkan prestasi membanggakan kerana berjaya bersaing dengan Reds sehingga tamat wisel permainan.

Selepas Manchester City diikat seri 1-1 oleh Southampton semalam, Liverpool berpeluang merapatkan kedudukan mata kepada sembilan mata. Dengan kelebihan perlawanan di tangan mereka, jika anak buah Jurgen Klopp berjaya memanfaatkannya, persaingan merebut kejuaraan EPL masih lagi terbuka.

Sementara Palace berharap dapat mengutip tiga mata di gelanggang keramat mereka. Ini selepas mereka hanya menang sekali dalam lima perlawanan. Dalam perlawanan terakhir mereka, Palace diikat seri oleh pakar seri EPL, Brighton 1-1 di Stadium Amex. Tanpa kelibat Mohamed Salah dan Sadio Mane sekalipun, ia masih satu tugas sukar untuk menewaskan Liverpool.

Advertisements

Harapan Vieira menyaksikan anak buahnya bermula dengan langkah kanan pada babak pertama ternyata meleset. Pada minit kelapan, sepakan sudut pertama Liverpool menghasilkan gol pertama menerusi tandukan bek tengah Belanda Virgil van Dijk. Van Dijk yang tidak dikawal pertahanan Palace mudah membuat tandukan ke dalam gawang tuan rumah.

Liverpool terus memberi tekanan kepada tuan rumah. Dan hasilnya pada minit ke-32, bekas pemain tengah Arsenal Alex Oxlade-Chamberlain menambah jaringan pasukan pelawat selepas menyudahkan hantaran Andrew Robertson. Palace memberi tekanan kepada pelawat dan hampir-hampir merapatkan jurang menerusi Michael Olise selepas memperdaya Joel Matip. Bagaimanapun, percubaan tersebut dinafikan Alisson.

Selepas rehat, Eagles meneruskan momentum serangan mereka. Hasilnya, pasukan pelawat tersentak apabila Jeffrey Schlupp berjaya menewaskan perangkap ofsaid sebelum membuat hantaran kepada Jean Philippe-Mateta. Mateta yang dihalang Alisson menghantar bola kepada Odsonne Edouard yang menolak bola ke gawang Reds yang kosong pada minit ke-55.

Advertisements

Klopp segera memasukkan Takumi Minamino menggantikan Oxlade-Chamberlain dengan tujuan memantapkan barisan tengah Liverpool. Tetapi itu dilihat gagal menghentikan serangan demi serangan Palace. Vieira yang mencari gol penyamaan membawa masuk Christian Benteke dan Jordan Ayew.

Tetapi hasrat bekas kapten Gunners itu tidak kesampaian sekali lagi. Ini selepas penyerang Diogo Jota diterjah oleh penjaga gol Eagles, Vicente Guaita dalam kotak penalti. Pada awalnya, pengadil Kevin Friend tidak melayan rayuan bekas penyerang Wolves itu untuk penalti. Tetapi selepas memeriksa semula ulang tayang video, penalti diberi kepada Reds. Fabinho menamatkan sisa perjuangan Eagles dengan gol penalti pada minit ke-88.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram