EPL: Liverpool ‘Moreh’ Sakan, Benam Cabaran Nottingham Forest
MakanBola
Liverpool FC

Hasrat Liverpool merapatkan jurang dengan Chelsea yang menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) tercapai apabila mereka menewaskan Nottingham Forest.

Liverpool berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Brighton 3-0 dalam saingan The Emirates FA Cup. Forest turut memburu misi sama selepas menewaskan Fenerbahce dalam Liga Europa UEFA (UEL).

Bekas penjaga gol Manchester City, Stefan Ortega menggalas tugas mengawal gawang Nottingham Forest. Hugo Ekitike menjadi sandaran gol The Reds.

Liverpool dipaksa bekerja keras seawal minit ketiga. Alisson Becker bertindak pantas menepis percubaan bekas bintang Chelsea, Calum Hudson-Odoi.

Lima minit sebelum rehat separuh masa, Alisson sekali lagi bertindak menyelamat gawang Liverpool. Kali ini, beliau berjaya menafikan percubaan Omari Hutchinson.

Ketangkasan Alisson memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Liverpool kembali memperkemaskan rentak. Percubaan terbaik mereka hadir sembilan minit selepas rehat.

Selepas menerima hantaran Cody Gakpo, Curtis Jones menyangka dapat merobek gawang tuan rumah. Walau bagaimanapun, Ortega bertindak pantas menafikan percubaan beliau.

Kesukaran kedua-dua pasukan mencari gol mendorong jurulatih Forest, Vitor Pereira dan jurulatih Liverpool, Arne Slot membuat pertukaran pemain.

Pereira memasukkan penyerang pinjaman Itali dari Napoli, Lorenzo Lucca. Slot pula memanggil bekas bintang Juventus, Federico Chiesa sebagai pemain gantian.

Forest terus memberi tekanan kepada Liverpool menerusi gandingan Lucca, Morgan Gibbs-White, Dan Ndoye dan Dilane Bakwa.

Gol yang dicari Liverpool akhirnya muncul pada minit ke-97 menerusi percubaan jarak dekat Alexis MacAllister. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool berkongsi 45 mata dengan Chelsea dan Manchester United.

Sofascore memilih Murilo sebagai pemain terbaik perlawanan dengan 7.7 mata. Ibrahima Konate, MacAllister dan Dominik Szoboszlai berkongsi markah sama iaitu 7.5 mata.

Selepas ini, Forest akan menentang Brighton pada 1 Mac. Liverpool pula akan menentang Wolverhampton Wanderers pada 4 Mac.