Luton Town membuktikan mereka bukan lawan mudah apabila memaksa Brighton bekerja keras sebelum dibelasah 4-1 dalam perlawanan pertama EPL di Stadium Amex hari ini.
Jika dibandingkan dengan dua lagi pendatang baru liga iaitu Burnley dan Sheffield United, ini kali pertama The Hatters beraksi dalam saingan tertinggi bola sepak Inggeris itu.
Walaupun beraksi sebagai pasukan pelawat, anak-anak buah Rob Edwards berusaha mengekang kelancaran permainan Seagulls yang beraksi di gelanggang sendiri.
Bagaimanapun, itu langsung tidak menghalang Brighton melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah gawang Luton yang dikawal bekas penjaga gol Blackburn Rovers, Thomas Kaminski.
Kesungguhan Seagulls membuahkan hasil apabila Solly March menjaringkan gol cantik menewaskan Kaminski pada minit ke-36. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, anak-anak buah Edwards tampil lebih garang memburu gol penyamaan. Peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-65 menerusi Jacob Brown tetapi sepakan beliau berjaya dinafikan penjaga gol tuan rumah, Jason Steele.
The Hatters terus dirundung malang apabila pengadil, David Coote menganugerahkan sepakan penalti kepada tuan rumah. Ini selepas Tom Lockyer menjatuhkan Joao Pedro dalam kotak penalti.
Walaupun dibantah pemain-pemain Luton, Coote kekal dengan keputusannya. Dan bekas penyerang Watford itu memastikan kemenangan Brighton dalam genggaman menerusi sepakan penalti pada minit ke-70.
Luton kemudiannya mendapat talian hayat apabila Coote menganugerahkan sepakan penalti kepada mereka. Ini selepas sepakan Brown terkena siku kapten Seagulls, Lewis Dunk dalam kotak penalti.
Carlton Morris tenang menewaskan Steele untuk gol sulung The Hatters dalam EPL. Kebangkitan yang dicari mereka bagaimanapun dipadamkan oleh dua pemain gantian Seagulls, Simon Adingra (minit ke-85) dan Evan Ferguson (minit ke-94).
Kekalahan ini menyaksikan Luton berada di tangga ke-18 EPL bersama Burnley dan Sheffield United yang turut tumbang kepada lawan masing-masing.
Selepas ini, The Hatters bakal bertandang ke Stamford Bridge pada 26 Ogos ini untuk menentang Chelsea. Manakala Brighton yang beraksi di Liga Europa musim ini akan menentang Wolves pada 19 Ogos ini.