Manchester United berjaya meraih kemenangan penting dalam aksi menentang Newcastle United di Stadium Old Trafford.
Erik Ten Hag masih menurunkan Casemiro dan Jonny Evans dibahagian tengah pertahanan manakala Bruno Fernandes dan Alejandro Garnacho memperkuatkan serangan pasukan.
Newcastle United pula mempertaruhkan trio serangan Anthony Gordon, Alexandar Isal dan Jacob Murphy dalam usaha membolosi benteng pertahanan tuan rumah.
Kobbie Mainoo membuka jaringan pertama buat United pada minit ke-31 perlawanan setelah berjaya menyempurnakan bola hantaran Amad Diallo.
Gol tunggal Mainoo menghiasi aksi babak pertama dan tiada jaringan tambahan sehingga tamat wisel separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Newcastle United pantas meraih gol penyamaan 4 minit setelah perlawanan berlangsung menerusi jaringan Anthony Gordon.
Tersentak dengan gol tersebut, United cuba menggandakan asakan dan Amad Diallo berjaya membolosi gawang gol Newcastle ketika menerima sepakan sudut pada minit ke-57.
Pemain gantian, Rasmus Hojlund muncul penjaring ketiga pasukan pada minit ke-84 setelah menerima bantuan jaringan daripada Bruno Fernandes.
Newcastle United cuba bangkit menerusi gol kedua daripada Lewis Hall pada masa tambahan tetapi gol tersebut sudah terlambat untuk menyekat kemenangan United.
Manchester United berjaya menewaskan Newcastle United dengan jaringan 3-2 dan kini kedua-dua pasukan merekodkan 57 mata dalam 37 perlawanan liga tetapi kelebihan jaringan menjadi milik Newcastle United.
Manchester United seterusnya akan menentang Brighton manakala Newcastle United akan turun melawan Brentford dalam aksi terakhir liga.