Pendatang baru EPL, Sheffield United buat Manchester City cemas sebelum juara bertahan liga musim lepas itu meraih kemenangan tipis 2-1 di Bramall Lane hari ini.
Dengan jurulatih Pep Guardiola bercuti selama dua minggu kerana menjalani pembedahan belakang seperti dilaporkan Daily Mail, pembantu beliau Juanma Lillo mengambil alih peranan sebagai pemangku jurulatih.
Babak pertama menyaksikan The Citizens banyak mendominasi permainan. Ini disokong dengan statistik 13 percubaan dan lima percubaan tepat pelawat berbanding kosong untuk The Blades.
Begitupun, disiplin pertahanan yang dipamerkan anak-anak buah Paul Heckingbottom menyaksikan City buntu dalam membolosi gawang tuan rumah.
Percubaan terbaik mereka hadir menerusi sepakan penalti pada minit ke-35 selepas bola hantaran Julian Alvarez terkena tangan bek tengah United, John Egan.
Penjaring terbanyak EPL musim lepas, Erling Haaland mengambil sepakan penalti tersebut tetapi malangnya sepakan beliau terkena tiang sebelum dikeluarkan pertahanan tuan rumah.
Nasib Haaland bertambah malang apabila rayuannya mendapatkan penalti pada minit akhir babak pertama tidak dilayan oleh pengadil mahupun VAR. Ini selepas penyerang Norway itu mendakwa dirinya dijatuhkan oleh Egan dan Anel Ahmedhodzic dalam kotak penalti.
Bersambung pada babak kedua, The Citizens terus menggandakan asakan ke atas gawang tuan rumah. Akhirnya, pada minit ke-63, percubaan ke-22 mereka berjaya menerusi tandukan Haaland menewaskan penjaga gol The Blades, Wes Foderingham.
Tatkala City sibuk menyerang bagi mendapatkan gol kedua, United menyamakan kedudukan menerusi Jayden Bogle pada minit ke-85.
Bagaimanapun, Rodri memusnahkan harapan tuan rumah mengutip satu mata dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-89.
Kemenangan ini melonjakkan The Citizens ke persada liga dengan sembilan mata. Manakala The Blades pula kekal di kelompok tiga tercorot liga.
Selepas ini, City bakal berhadapan dengan Fulham di Stadium Etihad pada 2 September. Manakala pencarian kemenangan pertama United diteruskan pada hari sama bila mereka melayan kunjungan Everton.