EPL: Manchester City Belasah Arsenal
EPL
Arsenal
Advertisements

Hasrat Arsenal mematikan harapan Manchester City memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022-2023 tidak kesampaian hari ini. Ini selepas Citizens meraih kemenangan besar 4-1 ke atas Gunners di Stadium Etihad sekaligus merapatkan jurang mata antara mereka kepada dua mata.

Dengan William Saliba masih lagi berehat akibat kecederaan, anak-anak buah Pep Guardiola tahu mereka ada kelebihan untuk membolosi gawang Arsenal. Dan sebaik sepak mula, kelemahan itu dimanfaatkan mereka menerusi gol Kevin de Bruyne pada minit ketujuh.

Selepas menerima hantaran jauh daripada Erling Haaland, de Bruyne melarikan bola ke arah gawang Arsenal yang dikawal Aaron Ramsdale. Sebelum pertahanan Gunners sempat menghalangnya, percubaan rendah pemain perancang Belgium itu terus melepasi Ramsdale sekaligus gol pertama perlawanan.

Advertisements

Pasukan pelawat yang dibimbing Mikel Arteta cuba bangkit tetapi malangnya, tuan rumah terus mendominasi perlawanan. Mereka terpaksa menunggu 38 minit sebelum menjaringkan gol kedua menerusi John Stones.

Pemain-pemain Arsenal menyangka Stones berada pada kedudukan ofsaid semasa menanduk bola menewaskan Ramsdale. Tetapi pemeriksaan pembantu pengadil video (VAR) mendapati bekas pemain Everton itu berada pada kedudukan onsaid sekaligus gol berkenaan dikira.

Gol tersebut dianggap istimewa kerana itu merupakan bantuan gol ke-24 de Bruyne dalam semua kejohanan. Ini menjadikannya pencipta bantuan gol terbanyak dalam lima liga teratas Eropah dengan Lionel Messi mengekori di belakang dengan 19 bantuan gol.

Advertisements

Ketinggalan 2-0 pada babak pertama, Arsenal bangkit menyerang pada separuh masa kedua. Malangnya, Gunners dibolosi lagi buat kali ketiga menerusi de Bruyne pada minit ke-54.

Kesilapan kapten Arsenal, Martin Odegaard mengawal bola mengakibatkan ia dicuri oleh Haaland sebelum melorongkan bola kepada pemain tengah Belgium itu. Sekali lagi, percubaan rendah de Bruyne membolosi penjuru kanan bawah gawang Ramsdale.

Dengan kelebihan tiga gol, tidak hairanlah penyokong City bergembira hari ini. Malah, mereka juga mengejek Gunners dengan mengatakan pasukan yang bermain hari ini ialah versi penyamar jiran utara London mereka, Tottenham Hotspur.

Advertisements

Agaknya terasa dengan ejekan penyokong tuan rumah, Gunners meraih gol saguhati menerusi Holding pada minit ke-85.

Dengan perlawanan memasuki masa tambahan, ramai menyangka tiada lagi gol dihasilkan. Sebaliknya, Haaland menambah derita pelawat dengan gol keempat pada minit ke-95. Keputusan 4-1 ini memastikan City hanya dipisahkan dua mata dengan Arsenal.

Dan jika mereka berjaya memanfaatkan kelebihan dua perlawanan berbaki dengan meraih kemenangan, Citizens boleh memintas dan menambah kelebihan enam mata ke atas Gunners. Ini membolehkan mereka mempertahankan kejuaraan EPL yang dimenangi pada musim lepas.

Advertisements

Selepas ini, City bakal menentang Fulham di Craven Cottage pada 30 April ini. Sementara Arsenal pula pasti berharap dapat memanfaatkan siri kekalahan yang dialami Chelsea ketika ini dengan kemenangan di Stadium Emirates pada awal pagi 3 Mei.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram