EPL: Manchester United Terlalu Handal, Benam Aston Villa
MakanBola
Manchester United

Manchester United bergaya menewaskan Aston Villa dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford.

Kedua-dua pasukan mahu bangkit selepas masing-masing tewas dalam aksi terakhir EPL. United tumbang di tangan Newcastle United dengan Villa pula dibelasah Chelsea.

Benjamin Sesko kembali berada di bangku simpanan United. Jurulatih Villa, Unai Emery pula mempertaruhkan Ollie Watkins sebagai peledak utama mereka.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan mengintai peluang gol awal.

Amad Diallo hampir meletakkan The Red Devils di hadapan menerusi tandukan pada minit ke-22. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol pelawat, Emiliano Martinez.

Villa juga hampir merobek gawang United menerusi Watkins pada minit ke-44. Penyerang England itu hampa apabila percubaannya dihalang bek tengah muda tuan rumah, Leny Yoro.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol pembukaan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, The Red Devils terus memberi tekanan kepada Villa untuk memburu gol pembukaan.

Penantian United berakhir pada minit ke-54. Casemiro menanduk bola hantaran kapten, Bruno Fernandes untuk gol ketujuhnya musim ini.

Tersentak, Villa kembali memperkemaskan rentak. Hasilnya, Ross Barkley menyamakan kedudukan menerusi gol pada minit ke-67.

Keceriaan kem pelawat hanya bertahan selama lima minit. Bintang Brazil, Matheus Cunha kembali menceriakan penyokong United dengan menewaskan Martinez.

Villa makin derita apabila Sesko yang masuk sebagai pemain gantian meledakkan gol ketiga pada minit ke-81. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan United memiliki kelebihan tiga mata di hadapan Villa di tempat ketiga dengan 54 mata. Sofascore memilih Barkley sebagai pemain terbaik perlawanan dengan 8.3 mata.

Selepas ini, United akan menentang Bournemouth di Stadium Vitality pada 21 Mac. Villa pula mengalihkan fokus kepada kempen Liga Europa UEFA (UEL) dengan menentang Lille pada 20 Mac.