Rekod tanpa kalah Arsenal sejak awal musim akhirnya lebur apabila mereka tunduk 1-0 kepada Newcastle United di St. James Park awal pagi ini.
Arsenal memerlukan kemenangan bagi membolehkan mereka menghambat musuh setempat, Tottenham Hotspur dan pendahulu liga, Manchester City.
Sementara The Magpies pula mahu menghambat Aston Villa dan Liverpool yang masing-masing menduduki tangga kelima dan keempat liga.
Babak pertama menyaksikan tidak banyak percubaan ke arah gol oleh kedua-dua pasukan. Sebaliknya, pengadil sibuk melayangkan kad kuning susulan aksi lasak yang dipamerkan kedua-dua pasukan.
Ini membawa kepada keputusan seri tanpa jaringan sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, pengurus Newcastle, Eddie Howe memasukkan Tino Livramento, Callum Wilson dan Jacob Murphy bagi menambah tekanan ke atas pelawat.
Percaturan tersebut berhasil apabila bintang muda England, Anthony Gordon meledakkan gol kemenangan buat tuan rumah pada minit ke-64.
Begitupun, gol tersebut dianggap kontroversi kerana Arsenal mendakwa bola sudah terkeluar dari permainan semasa dihantar ke dalam kotak penalti mereka.
Namun begitu, pada akhirnya, gol tersebut tetap dikira oleh VAR sekaligus menimbulkan kemarahan The Gunners terutama pengurus mereka, Mikel Arteta.
Pelawat cuba mendapatkan gol penyamaan tetapi barisan pertahanan tuan rumah diketuai kapten Jamaal Lascelles memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini meninggalkan Tottenham sebagai satu-satunya pasukan yang belum kalah dalam EPL setakat ini.
Arsenal kini menduduki tangga ketiga dengan 24 mata. Sementara Newcastle pula menduduki tangga keenam dengan 20 mata.
Selepas ini, The Gunners melayan kunjungan Burnley di Stadium Emirates pada 11 November. Manakala The Magpies pula bertandang ke Stadium Vitality menentang Bournemouth pada awal pagi 12 November.