Manchester City menggigit jari apabila sekadar meraih satu mata selepas diikat 4-4 oleh Chelsea di Stamford Bridge awal pagi ini.
The Citizens tahu satu lagi kemenangan bakal menjarakkan kedudukan mereka dengan Tottenham Hotspur kepada tiga mata.
Sementara The Blues pula berharap dapat memintas West Ham United yang menduduki tangga kesembilan liga sekiranya berjaya mengalahkan City.
Babak pertama menyaksikan The Citizens terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi sepakan penalti Erling Haaland pada minit ke-25.
Bagaimanapun, keceriaan pelawat tidak bertahan lama apabila Thiago Silva menyudahkan hantaran Conor Gallagher pada minit ke-29. Lapan minit kemudian, Raheem Sterling meletakkan Chelsea di hadapan.
Tersentak, City kembali mengejar dan menyamakan kedudukan menerusi Manuel Akanji pada minit ke-46. Keputusan 2-2 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Haaland menyumbat gol ke-13 liga musim ini bagi meletakkan City di hadapan pada minit ke-47.
Chelsea yang memasukkan Mykhailo Mudryk dan Malo Gusto terus memberi tekanan kepada pelawat. Hasilnya, Nicolas Jackson menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-67.
The Citizens menyangka telah meraih kemenangan menerusi Rodri selepas menerima hantaran Haaland pada minit ke-86.
Bagaimanapun, mereka bernasib malang apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti kepada The Blues. Cole Palmer memastikan kelab lamanya itu pulang dengan satu mata dengan gol pada minit akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing tidak berganjak dari kedudukan pertama dan ke-10 liga.
Sofascore memilih Haaland sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.5 mata. Sementara Gallagher dan penjaga gol Robert Sanchez dipilih sebagai pemain terbaik Chelsea dengan kedua-duanya berkongsi 7.5 mata.