Chelsea menempah tiket ke saingan Liga Eropoh selepas berjaya menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tempat keenam.
Kemenangan menentang Bournemouth di Stadium Stamford Bridge malam semalam memberikan khabar gembira buat penyokong dan peminat The Blues.
Aksi di separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0 diraih pasukan tuan rumah. Moises Caicedo memecah kebuntuan seawal minit ke-17 permainan selepas tenang melepaskan satu percubaan cantik sebelum memerangkap penjaga gol Bournemouth, Neto.
Jaringan jarak jauh Caicedo itu merupakan gol pertama pemain asal Ecuador itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris sejak penampilan pertamanya pada tahun 2022.
Bersambung aksi di babak kedua, Raheem Sterling menggandakan kelebihan buat skuad The Blues. Keadaan kelam kabut di kawasan pertahanan pelawat telah dimanafaatkan Sterling untuk gol kedua perlawanan.
Seminit selepas jaringan Sterling terhasil, pertahanan Chelsea, Benoit Badiashile secara tidak sengaja tertampan masuk bola ke gawang sendiri. Jaringan itu merupakan gol pertama buat pasukan pelawat dan satu-satunya gol buat Bournemouth dalam aksi malam semalam.
Perlawanan di Stamford Bridge tamat dengan kemenangan menjdi milik pasukan tuan rumah selepas Chelsea menewaskan Bournemouth dengan keputusan 2-1.
Chelsea menamatkan kempen di kedudukan keenam dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan 63 mata diraih skuad kendalian Mauricio Pochettino sementara Bournemouth terpaksa akur di kedudukan kedua belas dalam liga dengan 48 mata terkumpul.
The Blues dengan ini meraih tiket ke Eropah selepas berada dalam kelompok enam pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris.
Dalam pada itu, seteru Chelsea iaitu Manchester United sekadar menamatkan kempen di kedudukan kelapan musim ini. Skuad bimbingan Eric Ten Hag itu telah mengumpul sebanyak 60 mata selepas 38 perlawanan. Manchester United bagaimanapun masih berpeluang untuk meraih slot ke Liga Eropah jika mereka berjaya menewaskan Manchester City pada aksi final Piala FA, Sabtu kelak.