Bekas bek tengah Manchester United, Eric Bailly terus dilanda malang walaupun selepas berpindah ke Besiktas pada tetingkap perpindahan musim panas lalu.
Hari ini, pengurusan The Black Eagles mengumumkan Bailly merupakan sebahagian daripada lima pemain yang disisihkan daripada pasukan utama.
Selain bek tengah Ivory Coast itu, bekas penyerang Al-Nassr, Vincent Aboubakar, Valentin Rosier, Rachid Ghezzal dan Jean Onana turut mengalami nasib sama.
Langkah ini dibuat susulan kekalahan 3-1 mereka di tangan musuh setempat, Fenerbahce baru-baru ini.
Bailly telah membuat lapan penampilan bersama Besiktas sejak menyertai kelab gergasi Turki itu sebagai ejen bebas.
Beliau tidak banyak membuat penampilan sejak beberapa perlawanan lepas selepas mengalami kecederaan hamstring.
Dengan mereka kini disisihkan oleh pengurusan The Black Eagles, sukar bagi mereka kembali ke pasukan utama melainkan ada perubahan drastik yang melanda pasukan.
Justeru, dengan tetingkap perpindahan Januari bakal dibuka tidak lama lagi, kelima-lima pemain ini termasuk Bailly perlu menimbang prospek perpindahan pinjaman bagi melanjutkan karier bola sepak masing-masing.
Bek tengah Ivory Coast itu pernah menjulang Liga Europa dan Piala EFL bersama United dalam 113 perlawanan.