Erick Thohir Janjikan Bonus Jika Indonesia Berjaya Kekang Argentina

Erick Thohir Twitter @PSSI Erick Thohir Janjikan Bonus Jika Indonesia Berjaya Kekang Argentina
@PSSI
Azim Noor @mohdazim45
9:25pm 18/06/2023

Aksi persahabatan Indonesia-Argentina bakal menjadi tumpuan ramai penyokong di Gelora Bung Karno esok. Dan bagi membakar semangat anak-anak buah Shin Tae-yong, Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir bersedia memberi bonus kepada mereka jika berjaya mengikat Albiceleste.

Erick mengakui mencipta kemenangan ke atas anak-anak buah Lionel Scaloni dianggap satu misi mustahil. Tetapi jika Indonesia berjaya mengikat Argentina, maka ia sudah pasti satu detik membanggakan dalam sejarah bola sepak negara itu.

Dan sebagai tanda penghargaan kepada Tim Garuda sekiranya berjaya melakar keputusan itu, bonus lumayan menanti para pemain dan staf kejurulatihan.

“Saya maunya seri, kok. Kalau seri, dapat bonus,” katanya kepada Sports Stars semasa berada di Senayan hari ini.

Di atas kertas, dengan status juara dunia dan pasukan pertama dalam ranking FIFA, sukar untuk membayangkan Albiceleste tunduk kepada Indonesia.

Tetapi bagi Erick, jika itu berlaku, ia merupakan satu pencapaian luar biasa buat anak-anak buah Tae-yong. “Kalau menang, waduh. Timnas luar biasa,” tambahnya.