England membuka kempen Kumpulan C EURO 2024 dengan kemenangan apabila meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Serbia hari ini.
Kedua-dua pasukan tahu kemenangan amat penting hari ini agar dapat meraih kelebihan dalam Kumpulan C. Ini selepas Slovenia dan Denmark terikat 1-1 dalam aksi awal kumpulan awal pagi tadi.
Kesebelasan utama The Three Lions diketuai penyerang Bayern Munich, Harry Kane. Manakala peledak berbisa Al-Hilal, Aleksandar Mitrovic mengetuai jentera serangan The Eagles.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan kelebihan gol awal di Arena AufSchalke, Gelsenkirchen.
Gol yang dicari England muncul pada minit ke-13 menerusi Jude Bellingham. Bellingham menanduk masuk bola hantaran Bukayo Saka yang menewaskan penjaga gol Serbia, Predrag Rajkovic.
Tersentak, The Eagles berusaha mendapatkan gol penyamaan. Mitrovic hampir menyamakan kedudukan untuk Serbia pada minit ke-20 tetapi rembatannya terkena bahagian sisi gawang The Three Lions.
Serbia kemudiannya terpaksa mengeluarkan Filip Kostic dan memasukkan Filip Mladenovic pada minit ke-43 selepas Kostic mengalami kecederaan. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, The Eagles terus berusaha mendapatkan gol penyamaan. Jurulatih Serbia, Dragan Stojkovic memasukkan Ivan Ilic pada babak kedua untuk menambah sengat di bahagian serangan.
Malangnya, gawang England yang dikawal penjaga gol Everton, Jordan Pickford terus menjadi penghalang kepada The Eagles untuk mendapatkan gol penyamaan.
England hampir menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-77 menerusi Kane. Bekas penyerang Spurs itu menyangka sudah mendapat gol kedua selepas menanduk hantaran Jarrod Bowen tetapi berjaya disekat Rajkovic.
Serbia terus berusaha mendapatkan gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan England menerajui Kumpulan C dengan tiga mata dengan Serbia berada di kedudukan tercorot kumpulan.
Bellingham dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini selepas mendapat markah 7.8.
Selepas ini, England akan menentang Denmark pada tengah malam 21 Jun. Manakala Serbia pula berdepan Slovenia pada 20 Jun.