Skuad kebangsaan England meneruskan ‘badi seri’ selepas diikat buat kali kedua dalam saingan Euro 2024 dengan kali ini diikat Slovenia dalam perlawanan Kumpulan C awal pagi tadi.
England yang dibimbing Gareth Southgate menurunkan skuad terkuat dengan mempertaruhkan trio serangan Harry Kane, Bukayo Saka dan Phil Foden. Manakala Slovenia pula meletakkan penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak sebagai benteng terakhir pasukan.
Aksi dimulakan dengan England mempamerkan penguasaan menyeluruh dan memaksa Slovenia untuk bertahan dalam mengekang setiap asakan.
Bukayo Saka seharusnya terlebih dahulu meletakkan England satu gol di hadapan pada minit ke-20 selepas menyudahkan hantaran Phil Foden namun jaringan tersebut tidak dikira kerana Foden terlebih dahulu dikesan ofsaid.
Phil Foden dan Harry Kane juga mempunyai peluang keemasan untuk menambah gol namun kedua-dua percubaan tersasar dan dinafikan oleh penjaga gol.
Separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung pada babak kedua, England meneruskan tekanan ke kubu Slovenia bagi mendapatkan jaringan pendahuluan.
Pada minit ke-74, Declan Rice mencuba dari jarak jauh namun agak jauh tersasar ke tempat duduk penonton.
Tidak banyak yang mampu dilakukan oleh England dalam perlawanan ini memandangkan benteng Slovenia mempamerkan disiplin yang cukup tinggi.
Kedudukan 0-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menghadiahkan satu mata buat kedua-dua pasukan.
England boleh menarik nafas lega apabila masih mendahului Kumpulan C walaupu mencatatkan keputusan seri kedua sekali gus layak ke pusingan 16 terakhir. Manakala Slovenia perlu menunggu keputusan pasukan-pasukan lain untuk layak melalui tiket pasukan di tempat ketiga terbaik.