Belanda terpaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan ke separuh akhir EURO 2024 dengan menewaskan Turkiye di peringkat suku akhir.
Kedua-dua pasukan menyimpan misi layak ke separuh akhir kejohanan. The Crescent-Stars kali terakhir melakukannya pada edisi 2008 dengan Oranje pula pada edisi 2004.
Bek tengah Liverpool, Virgil van Dijk mengetuai cabaran Belanda. Manakala cabaran Turkiye pula digalas bintang Inter Milan, Hakan Calhanoglu.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan memberi saingan sengit meskipun ini kali pertama mereka bertemu dalam saingan EURO.
Bekas bintang Barcelona, Memphis Depay hampir meletakkan Belanda di hadapan seawal minit pertama. Malangnya, sepakannya hanya melepasi palang gol.
Turkiye lebih banyak mengancam menerusi gandingan Arda Guler, Kenan Yildiz dan Baris Alper Yilmaz. Gol yang dicari mereka akhirnya hadir pada minit ke-34 menerusi bek tengah Fenerbahce, Samet Akaydin.
Bola hantaran Guler mencetuskan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Oranje. Dan ini memudahkan Akaydin menanduk bola melepasi penjaga gol Brighton, Bart Verbruggen.
Tersentak, Belanda cuba bangkit mendapatkan gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Oranje yang dibimbing Ronald Koeman terus menggandakan asakan untuk mendapatkan gol penyamaan.
Belanda bernasib baik tidak ketinggalan 2-0 apabila sepakan percuma Guler dari jarak 27 meter hampir menerjah jaring pada minit ke-55. Percubaan bintang muda Real Madrid itu berjaya ditepis Verbruggen sebelum bola terkena palang.
Gol yang dicari Oranje akhirnya muncul pada minit ke-70 menerusi Stefan De Vrij. De Vrij yang tidak dikawal mudah menanduk bola melepasi jangkauan penjaga gol Turkiye, Mert Gunok.
The Crescent-Stars kemudiannya ditimpa malang apabila Mert Muldur tertolak hantaran bola Denzel Dumfries melepasi kawalan Gunok pada minit ke-76. Gol tersebut sudah cukup mengesahkan kemaraan Belanda ke separuh akhir EURO 2024.
Sofascore memilih Depay sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.9, 0.5 mata di hadapan Guler. Oranje selepas ini akan berdepan England di peringkat separuh akhir pada awal pagi 11 Julai ini.