Naib juara edisi 2016, Perancis menepati ramalan untuk mara ke suku akhir Euro 2024 setelah dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Belgium dalam aksi yang penuh dengan sengit.
Perancis yang mara ke pusingan kalah mati sebagai naib juara kumpulan D dijadualkan bertemu satu lagi pasukan pilihan ramai, Belgium yang juga merupakan naib juara bagi kumpulan E.
Didier Deschamp mengekalkan barisan terkuatnya diketuai oleh Kylian Mbappe yang kembali dari kecederaan patah hidung ketika aksi kumpulan sementara Romelu Lukaku diberi peranan sebagai penggempur utama Belgium.
Penguasaan bola jelas memihak Les Blues sejak minit awal dengan dominasi di bahagian tengah yang sukar digugat membuatkan Belgium lebih banyak bertahan di kawasan sendiri untuk melakukan serangan balas pantas.
Belgium sempat beberapa kali menguji gawang Perancis terutamanya menerusi sepakan percuma Kevin De Bruyne yang berjaya ditendang keluar oleh penjaga gol, Mike Maignan.
Aksi cemerlang Koen Casteels di pintu gol Belgium jelas sekali mengecewakan jentera serangan Perancis untuk kedua-dua pasukan kembali ke bilik persalinan dengan keputusan terikat tanpa jaringan.
Separuh masa pertama tamat, Perancis 0-0 Belgium.
Kembali dari rehat, Perancis mula meningkatkan tempo permainan dengan asakan berterusan ke kubu lawan melalui gandingan Kylian Mbappe, Marcus Thuram dan Antoine Griezmann namun masih buntu.
Kedua-dua pasukan mula mengatur corak baharu dengan kemasukan tenaga baru dari bangku simpanan seperti Randal Kolo Muani buat Perancis sementara Orel Mangala untuk Belgium.
Akhirnya, jaringan yang dicari akhirnya menjelma setelah pertahanan Belgium, Jan Vertonghan tertampan bola ke gawang sendiri hasil percubaan Kolo Muani lima minit sebelum permainan tamat.
Aksi di Dusseldorf berakhir dengan kemenangan tipis 1-0 buat Perancis.
Kemenangan ini membawa Perancis ke peringkat suku akhir dan menempah pertemuan menentang pemenang di antara Portugal atau Slovenia yang akan berentap dalam satu lagi aksi pusingan 16 terbaik nanti.