Tuan rumah bagi kejohanan Euro 2024, Jerman tepati ramalan apabila meraih kemenangan kedua selepas menumpaskan Hungary dalam aksi Kumpulan A sebentar tadi.
Jerman menurunkan skuad terkuat dengan Jamal Musiala dan Kai Havertz diletakkan di bahagian atas manakala Hungary pula mempertaruhkan bintang Liverpool, Dominik Szoboszlai yang bertindak sebagai pemain tengah menyerang.
Aksi dimulakan dengan Jerman mempamerkan penguasaan penuh dengan variasi hantaran yang tepat. Keadaan tersebut memaksa Hungary lebih fokus untuk bertahan.
Peluang pertama Jerman hadir pada minit ke-16 melalui percubaan Jamal Musiala namun remnbatannya tidak menepati sasaran.
Kerja keras Musiala akhirnya membawa tuah buat Jerman apabila pemain Bayern Munich itu meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-22 selepas menyambar hantaran Ilkay Gundogan. Jerman di hadapan 1-0.
Penguasaan terus dipamerkan Jerman biarpun berada di hadapan dengan satu gol.
Szoboszlai hampir memberikan jaringan penyamaan buat Hungary pada minit ke-28 namun percubaannya dihalang pertahanan Jerman.
Tiada tambahan jaringan dihasilkan untuk separuh masa pertama sekali gus mengakhiri babak dengan kedudukan 1-0 memihak Jerman.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat lebih menyerang demi mendapatkan jaringan.
Selepas serangan demi serangan dilancarkan, Jerman lebih bernasib baik dengan jaringan kedua berjaya dihasilkan. Kali ini melalui penyudah Ilkay Gundogan yang menyudahkan hantaran Maximilian Mittelstadt sekali gus mengubah kedudukan menjadi 2-0 memihak Jerman.
Tersentak dengan jaringan kedua Jerman, Hungary menambah kekuatan di bahagian depan dengan membawa masuk penyerang Ulsan Hyundai, Martin Adam untuk mencari jaringan.
Beberapa pertukaran yang dilakukan Hungary seolah-olah lebih memudahkan Jerman mengawal permainan apabila Hungary dilihat sukar mendapatkan penguasaan bola.
Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Jerman selesa di tangga teratas Kumpulan A dengan 6 mata manakala situasi berbeza buat Hungary yang merekodkan kekalahan kedua berturut-turut.
Untuk aksi seterusnya, Jerman bakal bertemu Switzerland pada aksi terakhir kumpulan manakala Hungary akan bertemu Scotland.