Euro 2024: Joselu Mahu Pastikan Toni Kroos Bersara Seawal Jumaat
MakanBola
SEFutbol/Germany Football Team
Sponsors

Penyerang Sepanyol, Joselu mahu memastikan karier Toni Kroos bersama Jerman berakhir dengan kekalahan di peringkat suku akhir Euro 2024 nanti.

Joselu dan Kroos merupakan rakan sepasukan di Real Madrid musim lalu sebelum kedua-dua pemain membuat keputusan untuk meninggalkan kelab itu di akhir musim setelah muncul juara UEFA Champions League Jun lalu.

Ad

Sebelum ini, pemain Jerman itu mengumumkan bahawa Euro 2024 bakal menjadi pentas terakhir buatnya sebelum menggantung but sementara Joselu membuat haluan baharu ke Qatar bersama Al Gharafa.

Ad

Dalam sesi sidang media pra-perlawanan, Joselu berharap pasukannya mampu untuk menghadiahkan kekecewaan buat bekas rakan sepasukannya itu sekaligus menjadikan pertemuan pada Jumaat sebagai aksi terakhir dalam karier Kroos.

“Memang memalukan kami terpaksa menghantar Toni bersara seperti itu, tetapi diharapkan kami akan menang pada hari Jumaat dan ia akan menjadi perlawanan terakhir Toni, untuk kebaikan kami sendiri,” kata Joselu pada Rabu.

Ad

“Kami perlu percaya pada diri sendiri dan tidak bimbang tentang pemain lain. Saya suka Toni, kami mengambil berat tentangnya, tetapi saya fikir Jumaat adalah perlawanan terakhir Toni.”

Ad

Tambah Joselu lagi, pengalaman bermain bersama Kroos merupakan kenangan yang sangat menyeronokkan selama menyarung jersi Madrid dan pergerakan pemain tengah itu perlu sentiasa diawasi bagi aksi nanti.

Ad

“Ia adalah satu keseronokan untuk saya bermain bersama dia (Kroos). Saya fikir dia cerminan kepada Real Madrid dan nilai-nilai kelab,” tambah penyerang berusia 34 tahun itu.

“Dia pemain asas buat pasukan Jerman, dan juga untuk Real Madrid, kami perlu memerhatikannya pada hari Jumaat.”

Jerman dan Sepanyol tampil penuh cemerlang di peringkat 16 terbaik yang lalu apabila anak didik Julian Nagelsmann itu menyingkirkan Denmark 2-0 di Dortmund sementara La Roja mudah membenam cabaran Georgia 4-1 untuk mara lebih jauh.

Sepanyol dijadualkan membuat perhitungan menentang tuan rumah, Jerman di suku akhir yang diibaratkan seperti aksi ulangan final Euro 2008 pada tengah malam Sabtu waktu tempatan di MHP Arena, Stuttgart.