Tuan rumah, Jerman menempah tiket ke suku akhir Euro 2024 selepas menewaskan Denmark dalam aksi pusingan 16 terakhir di BVB Stadium Dortmund sebentar tadi.
Jerman yang dibimbing Julian Nagelsmann menurunkan skuad terbaik dengan memertaruhkan Kai Havertz di bahagian serangan sambil dibantu Leroy Sane dan Jamal Musiala. Manakala Denmark pula tidak kurang hebatnya apabila meletakkan bintang Manchester United, Rasmus Hojlund di barisan hadapan.
Perlawanan dimulakan dengan Jerman tampak lebih agresif dan melancarkan beberapa gerak serangan yang menarik.
Jerman seharusnya terlebih dahulu di hadapan seawal minit ke-4 melalui Nico Schlotterbeck namun jaringan tersebut dibatalkan gara-gara ofsaid.
Denmark mula mendapatkan rentak permainan dan mula mengawal permainan memaksa Jerman lebih bertahan.
Permainan dihentikan seketika untuk beberapa minit pada minit ke-37 kerana ribut petir yang berlaku dan hujan mulai turun di Dortmund. Pemain-pemain menuju ke bilik persalinan.
Selepas beberapa ketika, permainan disambung semula namun tiada jaringan dapat dihasilkan dan menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan terikat tanpa jaringan.
Bersambung pada babak kedua, Denmark tidak perlu menunggu lama untuk meledak melalui Joachim Andersen pada minit ke-47 namun jaringan tersebut dibatalkan kerana VAR mengesahkan ofsaid telah berlaku.
Tidak lama selepas itu, pengadil perlawanan Michael Oliver menghadiahkan sepakan penalti buat Jerman selepas bola dikesan terkena tangan pemain Denmark. Kai Havertz yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah melunaskannya dan meletakkan Jerman 1-0 di hadapan.
Jerman meneruskan tekanan ke kubu Denmark dengan beberapa gerak serangan yang merbahaya.
Jamal Musiala menggembirakan ribuan penyokong Jerman dengan jaringan kedua pada minit ke-67 selepas menyudahkan hantaran jauh menarik daripada Schlotterbeck. Jerman mendahului 2-0.
Jerman seharusnya meledak jaringan ketiga di hujung perlawanan melalui penyudah Florian Writz namun tidak disahkan kerana ofsaid.
Perlawanan akhirnya ditamatkan dengan kemenangan 2-0 buat Jerman dan membolehkan tuan rumah mara ke suku akhir kejohanan kali ini.