Portugal mengsahkan tempat ke suku akhir Euro 2024 selepas menewaskan Slovenia menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat dengan Portugal mempertaruhkan Cristiano Ronaldo di bahagian serangan manakala Slovenia pula meletakkan kepercayaan kepada Jan Oblak sebagai penjaga gol utama.
Perlawanan dimulakan dengan Portugal mendominasi perlawanan menerusi hantaran-hantaran yang tepat.
Ronaldo mempunyai beberapa peluang untuk meletakkan Portugal di hadapan namun percubaannya tersasar dan diselamatkan penjaga gol.
Palhinha berpeluang mencetak gol pada masa kecederaan namun rembatannya terkena palang gol sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, permainan bertambah rancak dengan kedua-dua pasukan menggandakan asakan.
Pada minit ke-61, Sesko hampir meletakkan Slovenia di hadapan menerusi satu serangan balas namun percubaannya tersasar.
Biarpun mendominasi perlawanan dan melakukan serangan demi serangan, Portugal buntu untuk menjaringkan gol sekali gus memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.
Pada masa tambahan, Portugal dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-104 selepas Diogo Jota dijatuhkan di kotak penalti. Cristiano Ronaldo yang mengambil tugasan tersebut gagal menterjemahkannya kepada jaringan apabila diselamatkan Jan Oblak.
Kecemerlangan Jan Oblak juga beberapa kali mengecewakan pemain Portugal menerusi aksi penyelamatan berkelas dunia.
Kedudukan terikat tanpa jaringan selepas 120 minit permainan dan perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol Portugal, Diogo Costa menjadi wira Portugal apabila menyelamatkan tiga sepakan penalti Slovenia dan pemain Portugal berjaya menyelesaikan semua sepakan penalti iaitu daripada Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes dan Bernardo Silva.
Portugal memenangi aksi dengan kemenangan 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti dan mara ke suku akhir.