Aksi pusingan 16 kempen Euro 2024 pada awal pagi tadi melibatkan pertembungan antara pasukan Romania dan Belanda. Belanda tempah slot ke pusingan suku akhir selepas menewaskan Romania dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Allianz, Munich.
Babak separuh masa pertama menyaksikan Romania ketinggalan 1-0 selepas pemain tengah Belanda, Cody Gakpo memanfaatkan hantaran X Simon untuk jaringan pembukaan perlawanan.
Biarpun Romania beberapa kali mengatur serangan untuk mencari gol penyamaan, hasrat itu terus terkubur selepas Belanda menambah koleksi jaringan pada babak-babak akhir permainan.
Percaturan pengendali Belanda, Ronald Koeman nyata membuahkan hasil apabila impak D Malen menambah duka buat pasukan lawan. Penyerang gantian Belanda, D Malen menyumbat masuk bola ke gawang untuk gol kedua Belanda pada minit ke-83 permainan.
Sebelum aksi tamat, D Malen sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring sekaligus memberikan kemenangan bergaya buat Belanda apabila menewaskan Romania dengan keputusan 3-0.
Pasukan Belanda secara sah berjaya mara ke pusingan suku akhir Euro 2024. Skuad Ronald Koeman ini bakal berdepan Portugal dalam misi memburu slot ke separuh akhir dalam kempen Euro kali ini.