Advertising
EURO 2024: Jerman ‘Hentam’ Scotland Tanpa Belas Kasihan
MakanBola
DFB Team

Jerman membuka tirai Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2024 dengan kemenangan besar apabila membelasah Scotland 5-1 dalam aksi pertama Kumpulan A.

Dengan status selaku tuan rumah dan ranking ke-16 dunia, Die Mannschaft dilihat pasukan pilihan berbanding Scotland (ranking ke-35 dunia).

Jerman menurunkan barisan terkuat diketuai bekas kapten Manchester City, Ilkay Gundogan. Sementara The Tartan Army pula turut melakukan perkara sama dan diketuai bek kiri Liverpool, Andy Robertson.

Ad

Sebaik perlawanan bermula, Jerman hampir mendahului seawal minit pertama menerusi Florian Wirtz. Malangnya, percubaannya bukan saja dinafikan Angus Gunn tetapi beliau dikatakan berada pada kedudukan ofsaid.

Wirtz akhirnya mendapat gol yang dicari pada minit ke-10. Selepas menerima hantaran daripada Kroos, Joshua Kimmich mudah menghantar bola yang disempurnakan pemain tengah Bayer Leverkusen itu melepasi Gunn.

Ad
Ad

Belum sempat Scotland memperkemaskan rentak, Jerman menggandakan kelebihan mereka menerusi Jamal Musiala pada minit ke-19. Penyerang Arsenal, Kai Havertz memilih untuk menghantar bola kepada bintang muda Bayern Munich itu sebelum melepaskan rembatan kencang ke arah gawang lawan.

Ad

The Tartan Army terus bernasib malang apabila Die Mannschaft dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-40. Ini selepas Ryan Porteous dikesan melakukan terjahan keras ke atas Gundogan dalam kotak penalti.

Akibatnya, bek tengah Watford itu dibuang padang sekaligus menyebabkan Scotland dipaksa beraksi dengan 10 pemain. Penalti itu mudah disempurnakan Havertz menewaskan Gunn untuk gol ketiga Jerman.

Die Mannschaft berusaha menambah kelebihan gol mereka tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, tuan rumah yang dibimbing Julian Nagelsmann terus menggandakan asakan untuk menambah koleksi gol mereka.

Jerman terpaksa menunggu sehingga minit ke-68 untuk gol keempat menerusi Niclas Fullkrug. Fullkrug yang masuk menggantikan Havertz merembat kencang bola melepasi jangkauan Gunn.

Scotland mendapat gol saguhati pada minit ke-87 menerusi gol sendiri Antonio Rudiger. Pemain Nottingham Forest, Scott McKenna menanduk ke arah gawang Jerman dengan bola terkena kepala Rudiger sebelum menerjah jaring.

Keceriaan penyokong The Tartan Army tidak bertahan lama apabila bekas pemain tengah Liverpool, Emre Can meledakkan gol kelima Die Mannschaft pada minit ke-93. Keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sofascore memilih Havertz sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini dengan markah 8.0. Beliau mengatasi cabaran Musiala dengan kelebihan 0.1 mata.

Selepas ini, Jerman akan menentang Hungary untuk aksi kedua kumpulan pada awal pagi 20 Jun. Manakala Scotland pula akan menentang Switzerland pada awal pagi hari yang sama.