Selepas meninggalkan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada akhir musim 2023, ramai peminat bola sepak ingin tahu destinasi terbaru jurulatih Argentina, Tano Solari.
Kini, wartawan sukan Argentina, Cesar Luis Merlo melaporkan jurulatih berusia 43 tahun itu bakal dilantik sebagai jurulatih baru kelab Chile, Everton de Vina del Mar.
Kelab yang diberi jolokan Los Oro y Cielo itu berbuat demikian selepas mereka disingkirkan Union La Calera dalam pusingan pertama Copa Sudamericana pada 7 Mac lalu.
Selain tersingkir dari Copa Sudamericana, Everton juga memulakan musim dengan buruk di mana mereka merekodkan satu mata daripada dua perlawanan awal Chilean Primera Division musim 2024.
Susulan itu, pemilik kelab, Grupo Pachuca dilaporkan bakal memecat jurulatih, Francisco Meneghini dan menggantikannya dengan Solari.
Sekiranya berjalan lancar, perlantikan Solari bakal dimuktamadkan pada Isnin ini. Ini akan membolehkan bekas pengendali Argentina Bawah 23 Tahun (B-23) itu melihat prestasi Everton bila mereka menentang Universidad Catolica pada pagi 12 Mac waktu Malaysia.
Semasa bersama JDT, Solari membantu Harimau Selatan menggondol empat piala termasuk Liga Super dan Piala Malaysia 2023.