Arsenal terus mempamerkan aksi kurang konsisten setelah tumbang kepada Liverpool di laman sendiri dalam aksi pusingan ketiga FA Cup.
Liverpool yang berkunjung ke Stadium Emirates tanpa tonggak utama, Mo Salah yang dipanggil memperkuat skuad kebangsaan Mesir dilihat tidak berdepan kesukaran untuk mengimbangi corak permainan Arsenal.
The Gunners beberapa kali menguji gawang Liverpool melalui percubaan Kai Havertz dan Bukayo Saka, namun terlalu mudah buat penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.
Peluang terbaik Liverpool hadir menerusi rembatan kencang Trent Alexander-Arnold yang sekadar singgah di palang gol untuk kedudukan terikat 0-0 kekal sehingga memasuki bilik persalinan.
Di separuh masa kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan tempo permainan dalam misi merobek gawang lawan.
Akhirnya jaringan yang dicari-cari menjelma jua setelah pertahanan Arsenal, Jakub Kiwior tertampan bola ke gawang sendiri hasil sepakan percuma Trent Alexander-Arnold pada minit ke-80.
Ketika sedang rancak memburu jaringan penyamaan, The Gunners dihukum sekali lagi menerusi rembatan kencang Luis Diaz hasil satu serangan balas pantas pada masa kecederaan.
Perlawanan tamat menyaksikan Arsenal tersingkir dari saingan FA Cup setelah tumbang 0-2 di tangan Liverpool.
Selepas ini, Arsenal akan kembali ke aksi Liga Perdana Inggeris dengan melayani kunjungan Crystal Palace manakala Liverpool akan beraksi di pentas separuh akhir Piala Carabao berdepan Fulham.