Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea mara ke pusingan keempat The FA Cup selepas membelasah kelab Liga Kejohanan (divisyen dua England), Preston North End 4-0 di Stamford Bridge.
The Blues turun dengan lima perlawanan tanpa kalah termasuk suku akhir Piala EFL. Sementara Preston melihat perlawanan ini dapat merangsang kembali prestasi mereka dalam liga.
Ini kerana The Lilywhites hanya merekodkan satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir Liga Kejohanan.
Babak pertama menyaksikan tuan rumah banyak mendominasi perlawanan. Chelsea mengatur gerakan serangan menerusi Mykhailo Mudryk, Cole Palmer dan Raheem Sterling.
Malangnya, banyak percubaan serangan mereka dipatahkan oleh barisan pertahanan pelawat diketuai Liam Lindsay dan penjaga gol Freddie Woodman.
Tuan rumah terus mengatur serangan demi serangan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Momentum perlawanan mula berubah pada babak kedua. Penyerang muda Albania, Armando Broja meletakkan The Blues di hadapan pada minit ke-58 selepas menyudahkan hantaran Malo Gusto.
Bek tengah veteran Brazil, Thiago Silva menggandakan lagi kelebihan tuan rumah pada minit ke-66 selepas menerima hantaran Palmer.
Dua minit selepas itu, Sterling membuatkan penyokong di Stamford Bridge bersorak gembira dengan sepakan percuma cantik menewaskan Woodman.
Pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez melengkapkan malam gemilang The Blues pada minit ke-85 selepas menerima hantaran Sterling.
Sumbangan besar pemain sayap England itu kepada kemenangan Chelsea sudah cukup melayakkan Sterling sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore.
Sterling meraih 9.8 mata, jauh meninggalkan Fernandez yang mendapat 8.1 mata. The Blues selepas ini akan fokus kepada aksi separuh akhir pertama Piala EFL menentang Middlesbrough pada 10 Januari.
Sementara Preston pula kembali fokus kepada Liga Kejohanan dengan menentang Bristol City pada 13 Januari.