Advertisements
FA Cup: Newcastle United Ke Suku Akhir, Elak Dimalukan Blackburn Rovers
Eropah
MakanBola
Newcastle United

Newcastle United berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Martin Dubravka kerana membawa mereka ke suku akhir The FA Cup.

The Magpies mara ke suku akhir selepas mengetepikan cabaran kelab Liga Kejohanan, Blackburn Rovers di Ewood Park menerusi penentuan sepakan penalti dalam pusingan kelima kejohanan hari ini.

Separuh masa pertama menyaksikan Rovers memberi tekanan kepada pelawat tetapi gagal diterjemahkan dalam bentuk gol.

Daripada empat percubaan tuan rumah pada babak pertama mengikut data Sofascore, dua daripadanya berjaya dinafikan Dubravka.

Blackburn terus memberi tekanan kepada pelawat yang dibimbing Eddie Howe tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, permainan mula rancak dengan kedua-dua pasukan saling menyerang untuk mendapatkan gol.

Newcastle perlu menunggu sehingga minit ke-71 untuk membuka jaringan menerusi Anthony Gordon. Bagaimanapun, Rovers kembali mengikat pelawat menerusi Sammie Szmodics pada minit ke-79.

Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol kemenangan tetapi setiap percubaan mereka dinafikan masing-masing oleh Dubravka dan penjaga gol Blackburn, Aynsley Pears.

Dengan kedua-dua pasukan terikat selepas 90 minit, Blackburn dan Newcastle berusaha mencari gol kemenangan pada masa tambahan. Malangnya, usaha itu juga tidak berhasil dengan pemenang perlu ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada awalnya, kedua-dua pasukan terikat 1-1. Ini selepas Dubravka menafikan penalti Szmodics dan Pears menyelamatkan penalti Harvey Barnes.

Pada akhirnya, Newcastle berjaya mara ke suku akhir selepas penjaga gol Republik Czech itu menafikan penalti kapten tuan rumah, Dominic Hyam.

Kecemerlangan Dubravka dan Pears diiktiraf Sofascore dengan penjaga gol Newcastle itu dipilih pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.4 mata.

Sementara penjaga gol Blackburn itu dipilih sebagai pemain terbaik tuan rumah dengan markah 7.8 mata.