Fabinho Muncul Wira Al-Ittihad
MakanBola
Al-Ittihad FC

Selepas Riyad Mahrez, giliran seorang lagi bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Fabinho menjadi wira buat pasukannya dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Gol Fabinho membantu kelab gergasi Arab Saudi, Al-Ittihad mara ke suku akhir dengan menewaskan Al-Wahda 1-0.

Al-Ittihad menunjukkan keazaman untuk mara dengan menurunkan barisan pemain handalan. Antaranya Fabinho, Moussa Diaby, Hossam Aouar dan Youssef En-Nesyri.

Al-Wahda turut menampilkan barisan bintang berpengalaman termasuk bekas pemain perancang Southampton, Dusan Tadic dan bekas penyerang Aston Villa, Christian Benteke.

Meskipun menurunkan barisan terkuat, kedua-dua pasukan buntu mencipta jaringan sepanjang 90 minit. Ini memaksa perlawanan dibawa ke masa tambahan untuk menentukan pemenang.

Tatkala perlawanan seakan diheret ke penentuan sepakan penalti, Fabinho muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada babak kedua masa tambahan.

Sofascore turut memilih Fabinho antara pemain terbaik perlawanan untuk Al-Ittihad. Beliau mendapat markah 7.9, 0.1 mata di belakang rakan sepasukan Danilo Pereira.

Suku akhir ACLE bakal menemukan anak buah Sergio Conceicao itu dengan wakil Jepun, Machida Zelvia.