Bekas bintang Manchester City, Riyad Mahrez muncul wira dengan membawa Al-Ahli layak ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Al-Ahli yang juga juara bertahan turun menentang Al-Duhail dalam aksi pusingan 16 terbaik untuk memburu tiket ke suku akhir.
Kedua-dua pasukan turut menurunkan ramai pemain hebat untuk aksi ini. Antara tonggak yang ditampilkan Al-Ahli ialah Mahrez, Ivan Toney, Roger Ibanez dan Edouard Mendy.
Selepas kedua-dua pasukan terikat selepas 90 minit, Al-Ahli dan Al-Duhail berentap dalam masa tambahan selama 30 minit untuk menentukan pemenang.
Mahrez muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat kelab Arab Saudi itu pada minit ke-117.
Gol tersebut memastikan usaha Al-Ahli mempertahankan gelaran juara ACLE terus kekal membara dengan layak ke suku akhir.
Keputusan ini menyaksikan anak buah Matthias Jaissle akan berentap dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk memburu tiket separuh akhir.
Sofascore turut memilih Mahrez antara dua pemain terbaik Al-Ahli dalam perlawanan itu. Beliau dan rakan sepasukan, Rayan Hamed masing-masing mendapat 8.0 dan 8.2 mata.