Bek tengah Deportivo Alaves, Facundo Garces masih didaftarkan sebagai warga Malaysia dan bukan warga Argentina seperti didakwa sesetengah pihak.
Dakwaan bahawa Garces telah menukar kerakyatan timbul selepas tangkap layar biodata terbaru beliau bersama Alaves tular di media sosial. Tangkap layar tersebut menunjukkan status kerakyatannya ialah Argentina dan bukan Malaysia.
Meskipun begitu, dakwaan tersebut palsu berdasarkan semakan status Garces di Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF).
Secara ringkas, RFEF bertanggungjawab mentadbir dan mengawal selia hal ehwal bola sepak di Sepanyol. Ini termasuk pasukan kebangsaan Sepanyol, pertandingan kebangsaan, pengadilan serta hal-hal berkaitan disiplin dan peraturan.
Semakan di RFEF mendapati Garces masih lagi berstatus rakyat Malaysia. Hal ini jelas membuktikan dakwaan yang tular ketika ini palsu.

Semakan di laman sesawang pengelola liga Sepanyol, LaLiga juga menunjukkan maklumat sama berkenaan bek tengah berusia 26 tahun itu. RFEF merupakan sumber data sah yang digunakan LaLiga untuk data pertandingan mereka.

Garces dan tujuh lagi pemain negara ketika ini menjalani baki penggantungan yang diputuskan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Mac lalu. CAS mengekalkan penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain tersebut tetapi menerima sebahagian daripada rayuan mereka.
Sepanjang tempoh penggantungan, mereka dibenarkan terlibat dalam semua aktiviti bola sepak kecuali untuk perlawanan rasmi. Garces, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Hector Hevel, Jon Irazabal dan Imanol Machuca dijangka kembali beraksi pada November ini.