Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim mengakui rindu untuk menyarung semula jersi Harimau Malaya.
Selepas pulih daripada kecederaan akibat simbahan asid pada Mei 2024, pemain sayap berusia 27 tahun itu perlahan-lahan bangkit membina kembali keyakinan dan prestasi di atas padang.
Hasilnya, Faisal yang mesra disapa Mickey meledakkan hatrik ketika aksi Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) baru-baru ini.
Apabila ditanya sama ada beliau rindu menyertai skuad Harimau Malaya, Faisal mengakui tentang hal tersebut. Ini kerana beliau sudah lama tidak bersama skuad negara sejak hampir setahun lalu.
“Sudah tentu rindu, hampir setahun Mickey tak bersama pasukan kebangsaan. Mickey tak letak harapan yang tinggi,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
“Sekiranya Mickey layak, Insya Allah Mickey akan beri yang terbaik. Sekiranya belum sampai waktu Mickey bersama pasukan, itu bukan satu keputusan untuk Mickey patah semangat.
“Mickey perlu bekerja keras lagi dalam pasukan, tambah baik diri sendiri untuk lebih baik dan pasukan kebangsaan.”
Faisal turut mengakui seandainya beliau dipanggil menyertai Harimau Malaya oleh jurulatih, Peter Cklamovski, beliau perlu bersedia menyahut cabaran untuk membantu pasukan itu.
“Mickey rasa tak pasti sama ada layak bersama skuad kebangsaan untuk waktu terdekat atau nanti,” ujarnya.
“Kalau diberi peluang dalam panggilan skuad yang terdekat, satu cabaran besar untuk diri Mickey jugalah untuk bantu pasukan.”
Hatrik Faisal membantu Selangor meraih kemenangan 7-0 ke atas Kelantan DN. Itu sudah cukup untuk membantu Merah Kuning bergelar naib juara liga dan slot automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).