Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim berkongsi detik kekejangan yang dialaminya ketika meraikan jaringan kemenangan di Stadium Bukit Jalil pada kelmarin.
Faisal Halim menjadi watak penting pasukan apabila ledakannya pada babak akhir memberi kemenangan bermakna buat Harimau Malaya. Tiga mata penting berjaya diraih Malaysia dalam aksi pertama saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Kyrgysztan, 4-3.
Ketika temu bual MakanBola, Faisal menjelaskan kakinya sudah kekejangan sejak awal minit ke-80 permainan. Namun beliau tetap meneruskan aksi dan memberi sehabis baik untuk mencari gol buat Malaysia.
Pemain berusia 25 tahun ini menganggap kerja kerasnya membuahkan hasil apabila rezekinya malam tersebut berjaya mencatat nama sebagai penjaring.
“Saya dah kekejangan minit 80 lebih sebelum jaringan itu terhasil. Tapi itulah hasil usaha kita, saya tak menyerah kalah walaupun dalam keadaan tidak berada pada tahap 100 peratus.”
Beliau dalam pada itu menzahirkan rasa syukur dapat membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Faisal anggap jaringan pada babak akhir itu sebagai satu momen indah dan manis untuk semua.
“Alhamdulilah rezeki, ia manis sebenarnya tapi perlu kerja keras lagi untuk dapat kejayaan,” ujarnya kepada MakanBola.
Aksi seterusnya menyaksikan Malaysia bakal berdepan cabaran pasukan Taiwan pada Selasa, 21 November 2023 di bumi Taiwan. Perlawanan ini penting dalam usaha Malaysia untuk memberi cabaran buat Oman berada di kedudukan teratas dalam saingan Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026.