Harimau Malaya

Bojan Hodak Dilantik Ketua Jurulatih Baharu Harimau Malaya

Bojan Hodak Malaysia Bojan Hodak Dilantik Ketua Jurulatih Baharu Harimau Malaya
Edited by FF

Jurulatih berpengalaman Asia Tenggara, Bojan Hodak secara rasmi dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Advertisement

Pengumuman itu dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Selasa, 24 November 2026, sekali gus menamatkan penantian peminat tentang siapa yang akan mengemudi pasukan negara.

Pelantikan jurulatih kelahiran Zagreb, Croatia itu dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam arena bola sepak, khususnya di rantau Asia Tenggara. FAM turut mengambil kira rekod cemerlang beliau sepanjang kerjaya kejurulatihan bersama beberapa kelab dan pasukan kebangsaan.

Pengendali warga Croatia itu bukan nama asing dalam landskap bola sepak Malaysia. Beliau pernah membimbing beberapa kelab tempatan termasuk UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC. Beliau juga pernah mengendalikan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun dari 2017 hingga 2019.

Antara pencapaian terbesar beliau di Malaysia ialah ketika membimbing Kelantan menjuarai tiga kejuaraan utama pada 2012, iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Bekas jurulatih JDT itu turut membawa Skuad Harimau Selatan menjuarai Liga Super 2014. Beliau kemudian mencipta sejarah tersendiri apabila membawa Kuala Lumpur City FC menjuarai Piala Malaysia 2021 dan muncul naib juara Piala AFC 2022.

Pada pentas antarabangsa, jurulatih berusia 55 tahun itu membantu skuad Malaysia Bawah 19 Tahun menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2018 di Surabaya, Indonesia.

Beliau juga pernah membimbing kelab Kemboja, Phnom Penh Crown, dan kelab Indonesia, PSM Makassar. Terbaharu, beliau mengemudi kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung, dan meraih tiga kejuaraan liga sepanjang tempoh bersama kelab tersebut.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, Bojan Hodak dipilih selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan serta rekod pencapaiannya. Menurut beliau, rekod itu membuktikan Hodak mempunyai keupayaan untuk membimbing pasukan kebangsaan.

Ab Ghani turut menegaskan bahawa pengetahuan jurulatih itu tentang bola sepak tempatan menjadi faktor utama pemilihannya.

“FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.

“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.”

Menurut Ab Ghani lagi, FAM meletakkan harapan tinggi agar pelantikan ini membawa perubahan positif kepada skuad negara.

“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya.

Sebelum pelantikan ini, FAM telah melantik Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim pada 25 Jun 2026. Beliau menggantikan Peter Cklamovski, yang kontraknya ditamatkan melalui persetujuan bersama berkuat kuasa 16 Jun 2026.

Bekas jurulatih kebangsaan itu akan terus berkhidmat bersama FAM sebagai Pengarah Pasukan Kebangsaan, dan akan membantu memperkukuh pengurusan serta hala tuju pembangunan pasukan-pasukan kebangsaan.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...