Bekas pemain kebangsaan, R. Kogileswaran percaya Bojan Hodak dilihat calon terbaik untuk membimbing Harimau Malaya.
Pandangan itu dibuat beliau bila diminta mengulas potensi pelantikan bekas jurulatih Persib Bandung itu sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya dari Australia, Peter Cklamovski.
Kogileswaran melihat Hodak bukan saja kaya dengan pengalaman dan tidak asing dengan arena bola sepak Malaysia. Malah, sentuhan beliau sudah terbukti dengan pelbagai pencapaian trofi bersama pelbagai pasukan termasuk Kelantan, Persib dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya berasakan Bojan Hodak memiliki pengalaman yang luas dalam bola sepak tempatan dan antarabangsa.
“Saya yakin jika dia dipilih sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, dia mampu menjalankan peranan dengan sangat baik,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Hodak dilaporkan menjadi calon pilihan untuk mengisi kerusi panas Harimau Malaya. Sebelum ini, bekas jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu turut dikaitkan dengan kerusi panas berkenaan.
Hodak bukan asing dengan struktur kejurulatihan bola sepak kebangsaan. Sebelum ini, beliau pernah melatih skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) dari 2017 hingga 2019.


