Pemain sayap KL City FC, Haqimi Azim mengakui keadaan padang Stadium Jalan Besar memberi kesukaran kepada pasukan itu.
Rentak kemenangan KL City dalam saingan Shopee Cup terbantut apabila tewas 2-0 kepada wakil Singapura, Lion City Sailors. Bailey Wright dan Maxime Lestienne mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.
Haqimi merasakan bukan mudah buat The City Boys bersaing dengan The Sailors yang sudah biasa beraksi di atas padang tiruan.
“Faktor padang menyukarkan kami untuk bermain (menentang Lion City Sailors). Kami sudah lakukan yang terbaik tetapi tidak berhasil. Jadi, kita akan fokus kepada perlawanan seterusnya,” katanya.
Kekalahan ini menyaksikan KL City kini berada di tangga ketiga Kumpulan B dengan enam mata. Mereka dipintas Buriram United yang memiliki mata sama tetapi memiliki kelebihan jaringan.
The City Boys berdepan misi sukar selepas ini kerana mereka perlu menang baki dua aksi kumpulan. Ini kerana hanya juara dan naib juara kumpulan saja yang boleh layak ke peringkat separuh akhir.
Mereka akan menentang pendahulu kumpulan, Cong An Ha Noi (CAHN) pada 23 Januari. Ini disusuli aksi menentang pendahulu Thai League 1 itu di Stadium Buriram pada 6 Februari.
KL City kini mengalihkan fokus untuk aksi Liga Super menentang Selangor FC di Stadium MBPJ pada 12 Januari.