Faktor Penyudah Kecewakan Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Pemangku jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali mengakui ketumpulan penyudah menggagalkan usaha pasukan itu meraih kemenangan ke atas PDRM FC.

Sang Penyu berharap dapat kembali meraih kemenangan selepas kali terakhir melakukannya pada 10 Ogos lalu. Pada hari tersebut, Terengganu menewaskan KL City FC 2-0.

Penyerang El Salvador, Nelson Bonilla menceriakan penyokong Terengganu dengan gol sulungnya pada separuh masa pertama. Walau bagaimanapun, PDRM mencuri satu mata menerusi gol penyamaan Chidi Osuchukwu.

Keputusan ini menyaksikan Terengganu terus kempunan meraih kemenangan selepas enam perlawanan dalam semua kejohanan.

Badrul mengakui Terengganu memiliki banyak peluang untuk melebarkan kelebihan mereka ke atas The Cops tetapi tidak berhasil.

“Ya, kalau kita tengok peluang kita, saya rasa ada tiga, empat peluang dalam separuh masa pertama dan kedua.

“Bagi saya, kita kena perbaiki bahagian penyerang (dari segi) penyudah untuk aksi seterusnya,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.

Badrul bakal memanfaatkan tempoh rehat antarabangsa untuk memperbaiki segala kelemahan Sang Penyu sebelum aksi liga seterusnya pada 19 Oktober ini.

“Kita tahu kita ada rehat antarabangsa. Kita akan tengok balik macam mana, apa yang perlu diperbaiki kita perbaiki. Dan dalam masa 2 minggu ini, dalam perlawanan seterusnya kita akan bangkit Insya Allah,” ujarnya.

Terengganu kekal di tempat ketiga liga dengan 17 mata, dua mata di hadapan Perak FC yang menduduki tangga keempat liga.

19 Oktober bakal menyaksikan Terengganu bakal berentap dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar.