Selepas berjaya layak ke Piala Asia 2023, ramai penyokong tidak sabar melihat Malaysia bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik benua berkenaan. Dengan kejohanan bakal berlangsung pada awal tahun hadapan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum menetapkan sebarang sasaran buat Harimau Malaya.
Pendekatan ini dibuat lebih-lebih lagi dengan mengambil kira Harimau Malaya berada dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan. Selain itu, FAM juga ingin tahu senarai akhir pemain yang bakal dibawa ke Qatar sebelum menetapkan sebarang sasaran.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman melihat dengan cara itu, ia dapat meredakan tekanan ke atas para pemain sebelum mereka beraksi di peringkat kumpulan.
“FAM belum tetapkan lagi sasaran untuk ke Piala Asia dan jika Kim Pan-gon berkata demikian (lepas peringkat kumpulan), itu adalah sasaran peribadinya.
“Sudah pasti sebagai jurulatih, dia mahukan yang terbaik dengan meletakkan sasaran tertinggi tetapi bagi kami, kata putus hanya akan maklumkan sasaran sebelum berlepas ke Qatar nanti,” katanya dalam sidang media selepas Kongres FAM Ke-59 semalam.
Sebelum ini, jurulatih negara, Kim Pan-gon percaya anak-anak buahnya mampu melakar kejutan semasa berada di Qatar nanti. Kenyataan ini dibuat selepas melihat Harimau Malaya membelasah Papua New Guinea 10-0 bulan lepas.
Sementara Presiden FAM pula, Datuk Hamidin Mohd Amin memilih jalan selamat dengan mengatakan satu mata di peringkat kumpulan sudah dianggap satu pencapaian positif.