Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) beranggapan Ultras Malaya tidak sepatutnya melancarkan boikot ke atas kejohanan Pestabola Merdeka 2024.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berharap Ultras Malaya dan kumpulan-kumpulan penyokong dapat hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberikan sokongan buat skuad kebangsaan.
Dalam masa yang sama, sokongan daripada penyokong sangat diperlukan lebih-lebih lagi Pestabola Merdeka kali ini menawarkan pungutan mata ranking FIFA.
“Kami berharap mana-mana kumpulan penyokong sama-sama hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi memberikan sokongan dan semangat kepada pasukan dan para pemain Harimau Malaya pada 4 dan 8 September ini.
“Tambahan pula, Pestabola Merdeka 2024 ini berlangsung dalam Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA iaitu dari 2 hingga 10 September 2024 dan sudah tentu ia menawarkan pungutan mata untuk kita terus memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Ranking FIFA,” jelas Noor Azman kepada Astro Awani.
Terdahulu, MakanBola melaporkan bahawa Ultras Malaya telah melancarkan boikot dan tidak akan turun menyokong skuad kebangsaan dalam Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tindakan boikot itu juga disokong oleh kumpulan-kumpulan penyokong dari negeri lain yang turut tidak akan turun ke SNBJ bulan hadapan.