Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif terbaik dengan mendidik peminat bola sepak tempatan berkaitan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang digunakan dalam saingan Liga Super musim ini.
Inisiatif yang digelar ‘Program Kenali VAR’ itu diperkenalkan FAM dengan beberapa siri akan dihebahkan melalui laman sosial rasmi badan induk bola sepak negara itu.
Program tersebut akan diterbitkan secara mingguan dan segalanya akan diurus selia oleh Unit Pengadil FAM.
“Program kenali Video Bantuan Pengadil (VAR) ini merupakan langkah dan inisiatif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memulakan proses penyebaran maklumat berkaitan protokol VAR yang baru saja dilaksanakan dalam saingan Liga Super 2024-2025.
“Ia bertujuan untuk mendidik para peminat bola sepak di negara ini supaya sedikit sebanyak memperoleh info serta dapat memahami perkara-perkara berkaitan VAR memandangkan ini musim pertama Liga Malaysia mengguna pakai teknologi ini.
“Menerusi siri program ini, FAM akan memuatkan info-info berkaitan protokol VAR, info terkini VAR dan isu-isu yang berkisar serta berkaitan dengan penggunaan teknologi VAR di Liga Malaysia.
“Program Kenali VAR FAM ini merupakan terbitan secara mingguan dan akan diurus selia oleh Unit Pengadil FAM,” umum FAM dalam satu hantaran di Instagram.
Inisiatif yang diperkenalkan FAM itu wajar diberikan pujian tambahan pula VAR adalah satu perkara yang baharu buat industri bola sepak Malaysia.
Dengan terbitan-terbitan yang akan dihebahkan pada masa akan datang, para penyokong akan lebih mudah untuk memahami apakah fungsi sebenar VAR.