Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan sudah menghubungi pemain warisan Malaysia yang kini beraksi di Liga Eridivise Belanda, Sem Scheperman.
Pemain tengah berusia 22 tahun itu dikatakan sudah dihubungi FAM mengenai masa depan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia pada masa akan datang.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh laman pencari bakat warisan, FR Future Talents di Instagram baru-baru ini.
“Pemain Belanda-Malaysia, Sem Scheperman telah berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Malaysia dan mereka (FAM) telah menghubunginya mengenai peluang untuk mewakili Pasukan Kebangsaan Malaysia.
“Sem Scheperman antara pemain yang menjadi sasaran untuk dibawa ke Malaysia,” lapor Fr Future Talents di Instagram.
Jika ianya berjaya direalisasikan, sudah pasti lebih banyak pilihan buat pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente dalam menyediakan skuad terbaik bagi menyarung jersi Harimau Malaya.
Untuk rekod, Scheperman sudah beraksi dalam empat perlawanan Eridivise musim ini bersama Heracles Almelo dengan kesemua aksi menyaksikan beliau diturunkan sebagai pemain gantian.
Sebelum ini, FAM dilaporkan sudah mendapatkan dua pemain yang beraksi di luar negara bagi mewakili Harimau Malaya iaitu pemain tengah, Wan Kuzain Wan Kamal dan pertahanan kanan, Mats Deijl.