Sri Pahang FC meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur hari ini. Bagi pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad, kemenangan hari ini disifatkan sebagai luar biasa.
Ini kerana pasukan pelawat berstatus pasukan bintang dan dibarisi ramai pemain berkualiti. Dan dengan kualiti yang dimiliki anak-anak buah Tan Cheng Hoe itu, tidak hairanlah Merah Kuning mengawal sebahagian besar perlawanan tersebut.
Tetapi semangat berpasukan yang ditonjolkan anak-anak buahnya bukan saja memastikan mereka tidak dibolosi. Malah, Sri Pahang FC memanfaatkan peluang terhidang menerusi Kevin Ingreso pada minit ke-50.
“Sangat luar biasa (kerana) Selangor bukan pasukan calang-calang, ya. Pemain-pemain mereka tetap baik dan mengawal permainan Kita punya (kekuatan) seperti yang saya cakap tadi ialah teamwork dan kekuatan team spirit yang ada di situ.
“Dan mereka pun ada peluang, kita pun ada peluang dan ini hari penonton pun puas hati. Dan kita sangat berpuas hati dapat tiga point ini. Kita harus usaha, kerja keras lagi di babak kedua, kadang-kadang di babak pertama.
“Ini hari kita nampak ada sedikit peningkatan. Dari segi performance, tidak terlalu teruk babak pertama dan babak kedua, agak stable sedikit. Dan pertahanan bila kita kehilangan bola, kita agak compact. Itu yang buat kita berhasil hari ini,” katanya dalam temubual pasca-perlawanan di Astro Arena.
Fandi berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan di bumi Sabah selepas ini. Sri Pahang bakal menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 15 Julai depan.