Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memberi cadangan satu nama kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Jurulatih kelahiran Singapura itu berjaya mengasah satu lagi pemain berbakat besar bersama Tok Gajah yang mula mendapat perhatian musim ini.
Pemain yang dimaksudkan itu ialah Saiful Jamaluddin yang beraksi buat Malaysia ketika di Piala Asia B-23 tempoh hari.
Beliau beraksi sebanyak 16 perlawanan dalam saingan Piala MFL dan merekodkan dua bantuan gol.
Dalam satu temu bual pra-perlawanan bersama Astro Arena, Fandi akui pasukannya terpaksa menyesuaikan diri untuk beraksi tanpa kelibat Saiful Jamaluddin.
Hal ini susulan pemain tersebut berjaya mempamerkan persembahan terbaik dan membantu Tok Gajah untuk mengatasi Kelantan Darul Naim pada aksi pembukaan di Temerloh.
Beliau yakin peningkatan persembahan yang diperagakan oleh Saiful berititk tolak daripada kecemerlangan aksi ketika di Qatar tempoh hari.
Persembahan pemain muda yang beraksi selaku pemain nombor 6 ini juga menerima pujian daripada dua lagenda bola sepak negara iaitu Nizaruddin Yusof dan juga Safee Sali.
Situasi ini sudah pasti memberi tambahan pilihan buat Kim Pan-gon yang kini aktif hadir ke venue perlawanan bagi membuat penilaian terhadap barisan pemain yang bakal dipanggil.
Status semasa tiga tonggak utama Harimau Malaya juga menjadi tanda tanya sekaligus memungkinkan nama-nama baharu menjadi pilihan pengendali Korea Selatan itu.