Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad tidak bersetuju jika pasukannya dikatakan mempunyai kelebihan apabila turun berdepan Negeri Sembilan di Paroi dalam aksi pembukaan Liga Super 2023 pada Ahad.
Negeri Sembilan yang mencuri tumpuan dengan menduduki tangga keempat musim lalu, kali ini hilang beberapa pemain tonggak termasuk penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi, pertahanan Khuzaimi Piee serta penjaring terbanyak mereka Gustavo.
Malah mereka juga hanya menggunakan empat sahaja import berbanding sembilan yang dibenarkan, tetapi bagi Fandi Ahmad, pasukan kendalian K.Devan itu tetap berbahaya dan tidak boleh dipandang enteng.
“Bagi saya lebih atau kurang jumlah import sama sahaja, tidak memberi sebarang kelebihan. Yang membezakan kekuatan sesebuah pasukan adalah disiplin, atitud dan persefahaman yang ditunjukkan pemain di atas padang,” kata Fandi Ahmad dipetik dari laman rasmi media Sri Pahang.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan Singapura itu bagaimanapun optimis pasukannya boleh memulakan kempen 2023 dengan langkah kanan dan menjadi antara pasukan pencabar bagi musim ini,
“Kita dalam landasan yang betul, pra-musim telah memberi peluang kepada skuad untuk memantapkan aspek-aspek yang patut termasuk membina keserasian dan menanam keyakinan terutama dalam kalangan pemain muda.
“Kita ada kekuatan untuk memberi saingan yang sengit, tetapi kita perlu realistik dan menghormati kekuatan semua pasukan kerana kita ramai pemain baru, masih perlu belajar dan meningkat.
“Saya sedar semua pasukan mahu buat yang terbaik tetapi saya mahu tekankan kita sudah bersedia. Semua pemain komited untuk sepak mula di Paroi dan saya boleh katakan suasana serta moral di bilik persalinan ketika ini berada di tahap yang baik,” tambahnya.