Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad bersedia mengetengahkan pemain muda menjelang aksi keempat Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Selepas dua perlawanan Liga Super, Sri Pahang masih belum kalah dalam liga. Ini selepas Tok Gajah merekodkan satu kemenangan dan satu keputusan seri.
Walau bagaimanapun, pasukan itu terpaksa melupakan hajat mara lebih jauh ke Piala FA 2024. Ini selepas Tok Gajah disingkirkan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti.
Dengan satu lagi aksi sukar menentang Harimau Selatan, Fandi bersedia membuat rombakan kepada kesebelasan utama Sri Pahang.
Ini termasuk memberi peluang kepada pemain muda yang bukan saja segar tetapi mampu memberi fokus 100% sepanjang perlawanan.
“Saya rasa kita berusaha mendapatkan pemain yang segar, yang mental kuat (dan) yang fizikal kuat kerana ini (perlawanan menentang JDT) perlawanan berat. Kita harus berlari lebih daripada selalu dan juga kita harus berdisiplin.
“Jadi, kita harus pilih yang betul-betul (dan) yang dapat memberi komitmen 100%, baru kita mainkan pemain itu,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam untuk Nadi Arena.
Sri Pahang bakal turun menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi keempat liga selepas berehat pada aksi ketiga sebelumnya.