Bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias percaya Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu melakar kejutan ke atas lawan mereka, Sanfrecce Hiroshima dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Hal ini dinyatakan beliau apabila diminta mengulas peluang JDT untuk mara ke peringkat suku akhir ACLE.
Farizal mengakui bukan mudah buat JDT untuk mara lebih-lebih lagi bila bertemu pasukan Jepun seperti Sanfrecce.
Ini kerana kelab-kelab Jepun dikenali dengan intensiti permainan yang tinggi dan corak permainan berkualiti.
Farizal cukup masak dengan perkara ini kerana pernah berdepan kelab-kelab negara tersebut semasa mewakili Harimau Selatan di pentas Asia.
“Dari segi pengalaman saya bermain sebelum ini, apabila kita bertemu dengan pasukan Jepun terutamanya apabila bermain di tempat lawan iaitu sesuatu yang sangat luar biasa dan juga berbeza.
“Dari segi intensiti dan juga kualiti, mereka ada beberapa pasukan atau pemain yang berpengalaman dan mereka sudah pasti mempunyai kelebihan,” katanya kepada Nadi Arena.
Pada masa sama, Farizal melihat ada sinar harapan buat JDT menerusi persembahan pasukan itu ketika menentang Sanfrecce dan Vissel Kobe.
Ini kerana ini memperlihatkan jurang antara Harimau Selatan dan pasukan-pasukan Jepun semakin rapat. Farizal melihat ini sebagai bukti anak buah Xisco Munoz mampu menyaingi mereka di pentas ACLE.
“Tetapi jika dilihat apa yang pemain-pemain JDT tunjukkan tempoh hari sedikit sebanyak memberikan kita
harapan.
“Yang mana mereka pernah berlawan dengan pasukan Hiroshima tempoh hari di mana mereka kalah dengan jaringan tipis 2-1.
“Ia bukannya satu jaringan yang besar tetapi dari segi permainan yang pasukan JDT tunjukkan, saya pasti pasukan JDT juga mampu melakukan kejutan,” ujarnya.
JDT akan berdepan Sanfrecce dalam aksi pertama pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI). Ini disusuli aksi timbal balik di Hiroshima dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung pada Mac ini.