Pemain sayap Kelantan Darul Naim, Fazrul Amir sedia untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan Harimau Malaya jika mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Pau Marti Vicente.
Fazrul Amir hadir memperkuatkan kem kebangsaan untuk menggantikan Mukhairi Ajmal yang mengalami kecederaan.
Pemain berusia 24 tahun itu tidak mahu menghampakan kepercayaan yang diberikan oleh Pau Marti dan mahu berada dalam kem kebangsaan lebih lama.
“Saya perlu bekerja keras dan bersaing untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan. Saya mahu mendapatkan tempat untuk bermain.
“Alhamdulillah, ini adalah untuk memberi saya semangat untuk membuktikan sesuatu kepada kelab saya.
“Saya bermain di bahagian sayap pasukan dan idola saya di luar negara ialah Cristiano Ronaldo. Jika dalam Malaysia saya mengidolakan Arif Aiman.” ujar Fazrul Amir menurut perkongsian Harimau Malaya.
Fazrul Amir sebelum ini mencipta nama bersama pasukan Kelantan FC sebelum akhirnya menyertai Kelantan Darul Naim untuk musim ini dan amat dikenali dengan kepantasan lariannya.
Skuad kebangsaan negara bakal menentang cabaran India dan Laos bagi aksi persahabatan yang dijadualkan pada 14 November dan 18 November ini.