Penyerang kelahiran Belanda, Ferdy Druijf turut mempersoal rupa paras beliau yang didakwa memiliki salur galur Malaysia.
Nama Ferdy Druijf kembali menjadi bualan hangat selepas pemain berusia 27 tahun itu menjelaskan bahawa ibu bapa dan keluarga turut tidak mengetahui bahawa mereka miliki susur galur dari Malaysia.
Menerusi sesi wawancara itu juga, Druijf mengakui berasa terkejut apabila dikaitkan dengan Malaysia oleh salah satu laman Instagram sehingga akaun peribadi beliau menerima sejumlah pengikut yang ramai.
Ketika ditanya mengenai berita ini, Druijf hadir dengan satu persoalan kepada hos wawancara itu sama ada rupa beliau ini mirip orang Malaysia atau pun Belanda.
”Adakah kamu melihat saya seperti orang Malaysia atau Belanda?” soal Druijf sambil berseloroh kepada hos-hos wawancara itu.
Soalan Druijf itu mengundang gelak tawa hos ketika itu sebelum bekas pemain PEC Zwolle itu membuka cerita mengenai ujian DNA yang dilakukan untuk mengetahui kebenaran mengenai status beliau.
Terdahulu, Druijf antara nama yang disebut berpotensi untuk memperkuat barisan pemain Harimau Malaya selaku tonggak warisan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac ini.
Perkara ini turut mendapat perhatian DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga pencetus Revolusi Harimau Malaya yang menasihati para peminat agar terus bersabar.